Program Teambuilding Pentadbiran Bahagian Kuching telah berlangsung dengan jayanya pada 15 hingga 17 Mei 2026 bertempat di SALCRA Bajo Training Centre, Lundu. Program ini dikenali sebagai R&DO Kuching – Bonding Promax (We Born 2 Bond) dan telah dianjurkan oleh Pejabat Daerah Lundu yang diberi amanah sebagai penganjur utama.
Program ini melibatkan penyertaan daripada enam (6) buah pejabat di bawah Pentadbiran Bahagian Kuching iaitu Pejabat Residen Bahagian Kuching, Pejabat Daerah Kuching, Pejabat Daerah Bau, Pejabat Daerah Lundu, Pejabat Daerah Kecil Padawan dan Pejabat Daerah Kecil Sematan. Bagi menggalakkan semangat kerjasama dan interaksi antara peserta, semua peserta telah dibahagikan kepada sebelas (11) kumpulan dengan nama kumpulan yang kreatif dan unik iaitu SERIGALA KAWAII, KOBRA BERBISA, T-REX IMUT, AYAM CHAMPION, PIRANA RONGAK, BERUANG CINTA, BOYAK LANGGOK, JAGUAR MANIS, KALA BERBISA, BUAYA EMAS dan FUNNY MONKEY.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi memupuk semangat berpasukan, meningkatkan komunikasi serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga Pentadbiran Bahagian Kuching. Program ini turut menjadi platform untuk membina kerjasama strategik antara pejabat-pejabat yang terlibat.
Sebagai kemuncak program, Malam Gemilang Bestari telah diadakan di Dewan SALCRA Bajo. Majlis ini diadakan bagi meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), kakitangan yang berpindah serta kakitangan yang akan bersara. Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada setiap pejabat yang mengambil bahagian. Dalam pertandingan persembahan tersebut, Pejabat Daerah Lundu telah dinobatkan sebagai juara, diikuti oleh Pejabat Residen Bahagian Kuching di tempat kedua, Pejabat Daerah Bau di tempat ketiga dan Pejabat Daerah Kuching menerima saguhati.
Di samping itu, program ini turut mengambil kesempatan untuk meraikan Pra-Persaraan YBhg. Residen Bahagian Kuching, Puan Dayang Hajah Joanita Azizah binti Abang Haji Morshidi yang bakal menamatkan perkhidmatan beliau pada bulan Jun 2026. Penghargaan ini sebagai tanda terima kasih atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dalam Pentadbiran Bahagian Kuching.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh semangat kebersamaan, meningkatkan motivasi serta memupuk budaya kerja berpasukan yang lebih erat dalam kalangan warga Pentadbiran Bahagian Kuching.
Pautan ke Galeri Gambar.