Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Selamat Datang ke Laman Web Pejabat Daerah Kuching.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kakitangan Pejabat Daerah Kuching yang terlibat samada secara langsung dan tidak langsung di atas penghasilan laman web ini. Saya juga turut berterima kasih kepada kakitangan di Pejabat Daerah Kuching yang bersama-sama menjadi tulang belakang Pejabat Daerah Kuching ini bagi membantu melancarkan urusan orang awam yang berkaitan dengan kami.
Pejabat Daerah Kuching merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri Sarawak yang bertanggungjawab sebagai " barisan hadapan" di antara Kerajaan dan Rakyat di bawah bidang kuasa daerah Kuching. Ia juga bertanggungjawab sebagai tunjang penggerak di dalam merancang, menyelaras, melaksana dan memantau secara berterusan rancangan-rancangan pembangunan, sosio-ekonomi dan program-program sosial demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di daerah Kuching.
Kami di Pejabat Daerah Kuching berbesar hati menerima kehadiran orang awam yang ingin berurusan dengan kami seperti urusan Probet, Anak angkat dan perlesenan senjata. Kami juga turut menjadi pengantara bagi pihak Kerajaan dan Rakyat dengan adanya unit Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang menjadi first respondend kami mengenai keluh kesah dan cadangan serta aduan rakyat awam untuk kesejahteraan bersama dan pembangunan daerah Kuching ini. Selain itu, unit projek kami sentiasa peka di dalam merencana dan menerima maklum balas agar projek -projek pembangunan infrastruktur dan dan sosio ekonomi masyarakat Kuching berterusan sejajar keinginan Negeri dan Negara menuju era kemajuan di 2030.
Melalui perkongsian maklumat yang terdapat di laman web ini, pengunjung akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan Pejabat Daerah Kuching, khususnya mengenai Visi dan Misi, peranan, tanggungjawab serta perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan. Kami berharap dengan adanya laman rasmi ini, yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita rapat-rapatkan dan yang rapat mampu kita erat-eratkan kerana keeratan masyarakat dan kerajaan adalah nadi yang akan menjadi pencetus kemajuan Negeri Sarwak ini khususnya Daerah Kuching ini menjelang tahun 2030.
Akhir kata, saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada pengunjung dan pihak kami mengalu-alukan sebarang komen, cadangan penambahbaikan dan pandangan daripada tuan/puan bagi meningkatkan mutu da kualiti perkhidmatan yang disediakan. Wallahi, Wabillahi, Watallahi, wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
"BERSATU BERUSAHA BERBAKTI"
"AN HONOUR TO SERVE"
Zaidi bin Haji Sharkawi
Pegawai Daerah Kuching
Sepenuhnya
Siaran Akhbar, 10 February 2025
Kuching, 9 Februari 2025 – Pejabat Daerah Kuching telah menjadi lokasi bagi satu kaji selidik penting mengenai subsidi bersasar yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini melibatkan penyertaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kuching dengan tujuan mendapatkan maklumat dan pandangan mereka mengenai pelaksanaan subsidi bersasar dalam kalangan masyarakat setempat. Kajian ini bertujuan untuk mengumpul data serta maklum balas mengenai keberkesanan sistem subsidi bersasar yang sedang diperkenalkan oleh kerajaan. Dengan kehadiran para pemimpin komuniti tempatan, perbincangan yang mendalam telah diadakan bagi mengenal pasti cabaran, keperluan, dan cadangan berkaitan pelaksanaan dasar ini. Dengan adanya kajian sebegini, diharapkan subsidi yang disalurkan dapat benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan serta membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. UKM akan terus menjalankan kajian dan analisis bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar ini mencapai objektif yang diinginkan.
Siaran Akhbar, 20 January 2025
Semenggok, 16 Januari – Perjumpaan mesra bersama penghuni kuarters Institut Pertanian Semenggok telah diadakan baru-baru ini. Perbincangan ini dipengerusikan oleh Puan Ellsie Anak Bisa dan dihadiri oleh pelbagai wakil dari agensi kerajaan untuk membincangkan isu-isu berkaitan penghuni kuarters di Institut Pertanian Semenggok. Dengan tujuan untuk mempererat hubungan antara penghuni dan pihak pengurusan kuartes kerajaan. Program ini turut menjadi platform untuk mendengar cadangan, pandangan, dan sebarang isu yang dihadapi oleh penghuni kuarters. Puan Ellsie menyampaikan ucapan aluan bagi pihak Pegawai Daerah Kuching yang tidak dapat hadir. Beliau menekankan agar penghuni mendengar taklimat yang disampaikan oleh Cik Hanisah Sahari, Pegawai Seranta Kuarters, mengenai prosedur dan tanggungjawab penghuni. Antara isu yang dibincangkan termasuklah prosedur permohonan, masuk, dan keluar kuarters, isu bil air dan isu tempat letak kereta. Penduduk setempat juga mengutarakan beberapa permasalahan mereka seperti tong sampah rosak, masalah peparitan dan loji kumbahan sertakesesakan lalu lintas di kawasan kuarters.
Siaran Akhbar, 20 January 2025
Kuching, 19 Januari – Dalam semangat prihatin terhadap nasib keluarga mangsa kemalangan tragis yang berlaku di Jalan Stutong baru-baru ini, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri telah mengadakan kunjungan ziarah ke rumah keluarga mangsa. Lawatan ini turut disertai oleh Ketua Kampung Tabuan Melayu, Pegawai Kebajikan Kuching, dan Penghulu Amzah Hj Dollah. Difahamkan, mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut meninggalkan beberapa orang anak yang masih bersekolah. YB Dato' Sri Hajah Nancy dalam kunjungannya menyampaikan ucapan takziah dan memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa. Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan kepada keluarga terbabit. Kehadiran Ketua Kampung Tabuan Melayu dan Penghulu Amzah Hj Dollah dalam ziarah ini menunjukkan sokongan komuniti terhadap keluarga yang terkesan. Pegawai Kebajikan Kuching pula mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyelaras bantuan segera untuk keluarga ini.
Siaran Akhbar, 27 February 2024
Dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan awam dan mempermudah urusan masyarakat, Pejabat Daerah Kuching telah melancarkan satu inovasi yang dikenali sebagai Kaunter Ekspress KMKK. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra pengguna, selaras dengan keperluan dan harapan masyarakat setempat. Kaunter Ekspress KMKK (Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum) adalah sebuah platform perkhidmatan yang memudahkan masyarakat untuk mendapatkan khidmat dari Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dengan lebih mudah dan lebih cepat. Satu jadual bertugas telah di berikan kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum untuk berada dan memberikan perkhidmatan mereka. Dengan adanya perkhidmatan seumpama ini, memudahkan masyarakat untuk membuat pengesahan sijil atau apa sahaja perkhidmatan yang memerlukan khidmat para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. Kaunter Ekspress KMKK adalah satu langkah inovatif oleh Pejabat Daerah Kuching dalam usaha menyantuni masyarakat dengan lebih berkesan. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk tetapi juga memastikan mereka mendapat perkhidmatan yang berkualiti dan komprehensif. Dengan adanya kaunter ini, masyarakat Kuching dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera.