| Masihi Date | Hijri Date | Day | IMSAK | SUBUH | SYURUK | ZOHOR | ASAR | MAGHRIB | ISYAK |
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 29 Ogo 2026 | 16 Rabi'ulawwal 1448 | Sabtu | 05:18 AM | 05:28 AM | 06:37 AM | 12:44 PM | 03:55 PM | 06:47 PM | 07:57 PM |
SELAMAT DATANG KE PEJABAT DAERAH BAU
Press Release, 17 August 2026
BAU, 15 Ogos 2026 – Seminar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Peringkat Daerah Bau 2026 telah diadakan di Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau pada Sabtu sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta hak dan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Seminar yang berlangsung selama setengah hari itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta, termasuk pelajar Tingkatan Enam dan golongan pendidik. Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan yang tepat dan berasaskan fakta, dokumen rasmi serta konteks sejarah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963. Seminar telah diilhamkan serta ditaja oleh YB Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak. Di dalam ucapan beliau menekankan kepentingan generasi muda untuk memahami MA63 secara tepat serta berhemah dalam menilai maklumat yang diperoleh, khususnya melalui media sosial, podcast dan pelbagai platform digital. Beliau turut mengingatkan bahawa maklumat yang disebarkan melalui platform digital tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai. Sehubungan itu, masyarakat disarankan agar membuat semakan serta merujuk kepada sumber yang sahih, termasuk dokumen sejarah, rekod rasmi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat. Selain itu, seminar turut menekankan peranan penting golongan pendidik dalam membimbing pelajar memahami sejarah pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan MA63 berdasarkan sumber yang sahih. Pendedahan tersebut juga dapat membantu pelajar Tingkatan Enam memperkukuh pengetahuan dalam mata pelajaran Sejarah dan Pengajian Am, khususnya berkaitan pembentukan Malaysia serta kedudukan Sarawak dalam Persekutuan. Turut hadir ialah Timbalan Peguam Besar Sarawak, Datuk John Wayne Chamberlain, dan Peguam Kanan Negeri, Mohd Adzrul Adzlan, yang turut memberikan penerangan serta perkongsian berkaitan aspek perundangan dan isu-isu yang mempunyai kaitan dengan MA63. Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, turut hadir sebagai moderator kepada seminar tersebut. Penganjuran Seminar MA63 Peringkat Daerah Bau ini bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai sejarah pembentukan Malaysia, malah turut menyumbang kepada pembentukan pemikiran kritis, kesedaran sivik, semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Seminar ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat mengenai kepentingan MA63 berdasarkan fakta dan sumber yang sahih. Kefahaman yang tepat mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan kedudukan Sarawak amat penting bagi memastikan perkara berkaitan MA63 terus dihargai, difahami dan diwarisi oleh generasi masa kini serta generasi akan datang.
Press Release, 18 June 2026
BAU, 17 Jun 2026 – Majlis Birumu Gawea Ponyap Akat Kampung Plaman Bu'ow Jagoi Gunung Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Kampung Plaman Bu'ow, Bau, pada 17 Jun 2026. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.2 Tasik Biru. Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau, Eddy Anak Nayoi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), pemimpin tempatan serta penduduk Kampung Plaman Bu'ow dan kawasan sekitarnya. Program yang mengetengahkan semangat perpaduan, gotong-royong dan pemeliharaan warisan budaya masyarakat Bidayuh ini bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti di samping memelihara adat dan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun. Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Kaum Kampung Plaman Bu'ow, Dael Anak Nagek, merakamkan penghargaan atas kesudian Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep menghadiri majlis tersebut serta menyatakan harapan agar pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian. Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan dan penaiktarafan kemudahan asas, pengukuhan jaringan perhubungan serta usaha memelihara keunikan budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Bidayuh yang mempamerkan keindahan seni dan warisan tempatan. Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Tetamu Kehormat sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama para tetamu dan penduduk kampung. Penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan dalam memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat, selain memastikan warisan budaya masyarakat Bidayuh terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Press Release, 04 May 2026
BAU, 30 April 2026: Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau 2026 bakal berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Mei ini di REDEEMS Centre, Singai dengan pelbagai pengisian menarik yang menonjolkan keunikan budaya masyarakat Bidayuh, sekali gus dijangka menarik antara 3,000 hingga 5,000 pengunjung. Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pesta berkenaan akan bermula pada 8 Mei dari jam 3 petang hingga tengah malam, manakala pada 9 Mei pula berlangsung seawal jam 10 pagi hingga tengah malam. “Penganjuran pesta ini bertujuan memperkenalkan budaya, adat resam, warisan dan sejarah kaum Bidayuh sebagai tarikan pelancongan utama di daerah Bau,” katanya dalam sidang media pada Khamis. Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk rumah terbuka, persembahan seni tradisional, pameran kebudayaan, jualan kraf tangan serta makanan tempatan. Selain itu, acara ini turut menampilkan barisan artis jemputan seperti Baby Shima, At Adau, Depha Masterpiece, Timothy, Claudia Geres, Ellawati Zaidi, Elliza Suezina, The Friendster, Blackjack, Pak Maon, Mr Sam The Band, Remix R2 Band, Uncle Din Band dan Suk Binie’. Mengulas lanjut, Datuk Henry berkata masyarakat Bidayuh di daerah Bau yang terdiri daripada komuniti Bratak, Jagoi, Singai, Serembu serta Krokong/Tringus mempunyai keunikan tersendiri yang wajar diketengahkan. Malah, masyarakat daripada kaum lain seperti Cina, Melayu dan Salako Rara turut dijemput untuk mengadakan rumah terbuka bagi memeriahkan lagi pesta tersebut. “Konsep ‘gotong-royong’ atau ‘kerja samah’ yang menjadi amalan masyarakat Bidayuh turut diterapkan dalam penganjuran pesta ini sebagai simbol perpaduan komuniti,” jelasnya.
Press Release, 11 May 2026
BAU, 9 Mei 2026: Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau bakal dimasukkan ke dalam kalendar rasmi Visit Malaysia sekali gus diangkat sebagai acara tahunan berimpak tinggi bagi memperkukuh kedudukan daerah itu sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, Tourism Malaysia akan diminta memastikan pesta tersebut terus dipromosikan secara meluas sebagai salah satu produk pelancongan berpotensi untuk jangka panjang. Menurut beliau, usaha mempromosikan sesuatu destinasi pelancongan perlu disertai dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan pihak berkaitan. “Kalau kita mahu kawasan ini terus berkembang, kita mesti sentiasa bersedia dari segi kebersihan, kemudahan, layanan dan keseluruhan pengalaman pelawat. “Tourism Malaysia juga akan membantu dari segi promosi dan publisiti,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau 2026 di Dewan Datuk Peter Nansian Ngusie, Pusat REDEEMS Bau pada Sabtu. Dalam pada itu, beliau berkata Bau mempunyai kekuatan tersendiri sebagai kawasan yang kaya dengan sejarah, budaya dan warisan masyarakat yang masih hidup serta diamalkan hingga kini. “Inilah kekuatan sebenar kawasan ini di mana budaya bukan sekadar persembahan atau pakaian tradisional, tetapi cara masyarakat saling menghormati, hidup bersama dan menjaga hubungan antara satu sama lain. “Pelancong hari ini bukan hanya mahu melihat tempat menarik, tetapi mahu memahami budaya, melihat kehidupan masyarakat tempatan dan merasai pengalaman sebenar. “Bau mempunyai kekuatan itu dan perlu terus diperkembangkan dengan baik,” katanya. Tambah beliau, pendekatan berasaskan budaya dan pengalaman komuniti itu amat penting dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk masyarakat setempat yang sentiasa menyokong usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam membangunkan sektor pelancongan. “Kekuatan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada kerajaan, tetapi juga kepada rakyat yang sanggup bersama-sama menjayakannya,” ujarnya lagi.
Press Release, 27 April 2026
BAU, 25 April 2026: Seramai 36 penerima di kawasan Serembu menerima manfaat langsung berjumlah RM407,500 menerusi Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Dana Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) Serembu 2026 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu, pada Sabtu. Penerima terdiri daripada 20 persatuan, lapan rumah ibadat serta lapan sekolah, sekali gus memperkukuh pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan komuniti setempat. Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta pemegang lesen dalam memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan secara inklusif kepada rakyat. Dalam ucapannya, wakil Jabatan Tanah dan Survei Kuching, Abang Ahmad Mazlan Abg Ariffin memaklumkan bahawa sebelum ini sebanyak RM289,000 telah diagihkan kepada penerima, manakala majlis kali ini merupakan siri keempat pelaksanaan sejak 2023. Menurut beliau, kesinambungan program tersebut membuktikan usaha berterusan pihak jabatan dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat, selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek inklusiviti sosial. “Di bawah tunjang ini, kerajaan negeri memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan tanpa ada pihak yang tercicir,” katanya. Sementara itu, ADUN Serembu, Dato Miro Simuh menyifatkan inisiatif CSR sebagai pendekatan berkesan dalam menyokong pembangunan komuniti, khususnya di kawasan yang memerlukan perhatian. Beliau menegaskan bahawa CSR bukan sekadar sumbangan bermusim, sebaliknya merupakan instrumen keadilan sosial yang memastikan hasil daripada aktiviti ekonomi dapat dikongsi bersama masyarakat setempat. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua penerima menggunakan peruntukan yang disalurkan secara berhemah dan berfokus supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh. Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; wakil Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Alexander Ronny serta pemimpin komuniti setempat. Program ini dijangka diteruskan dengan siri seterusnya di kawasan Tasik Biru pada 29 April ini sebagai usaha berterusan memperkasa pembangunan komuniti di kawasan Serembu.
Press Release, 27 April 2026
BAU, 24 April 2026: Projek menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan sawah padi di Kampung Serikin bernilai RM3 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dijadualkan untuk ditender pada Jun 2026. Perkara itu dimaklumkan dalam sesi dialog bersama penduduk kampung yang melibatkan GKCDA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Bahagian Kuching, Pejabat Daerah Bau serta Jabatan Pertanian Daerah Bau, pada Jumaat. Projek tersebut melibatkan kawasan penanaman padi seluas 11.7 hektar dengan skop kerja merangkumi pembinaan benteng keliling dan sistem saliran, benteng dalaman, jalan akses berbatu kerikil serta pembinaan kolam atau pintu kawalan air. Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Bahagian Kuching bertindak sebagai agensi pelaksana bagi projek berkenaan. Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Datu Ik Pahon Joyik, dalam pada itu berharap penduduk setempat dapat memberikan kerjasama penuh kepada pihak kontraktor bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual. Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, menggesa penduduk agar memanfaatkan inisiatif dokumentasi tanah di bawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA). Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi membolehkan tanah yang diusahakan memperoleh geran sah di bawah Seksyen 18, sekali gus memberi jaminan pemilikan yang lebih teratur kepada penduduk. Program tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; Jurutera Awam JPS Sarawak Bahagian Kuching, Hallizza Asli; serta pemimpin masyarakat tempatan termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum Kampung Serikin.
Press Release, 24 April 2026
BAU, 23 April 2026: Destinasi ekopelancongan Paku Rock Maze Garden bakal menjadi tumpuan utama menerusi penganjuran program ‘Revisiting Paku Rock Maze Garden’ yang dijadual berlangsung dari 30 April hingga 3 Mei ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mempromosikan keindahan alam semula jadi serta keunikan geologi kawasan Paku yang menjadi antara produk pelancongan utama di daerah ini. "Sepanjang acara empat hari tersebut, pelbagai pengisian telah disusun bagi berkongsi maklumat berharga berkaitan alam sekitar. "Selain mempromosikan acara, kita juga mahu menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke sini untuk menikmati khazanah alam yang kita miliki," jelas beliau. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena penganjuran program tersebut di sini pada Khamis. Tambahnya, program ini dirancang khusus untuk memposisikan Paku Rock Maze Garden sebagai tarikan pelancongan mampan yang diterajui sepenuhnya oleh komuniti setempat, selain menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi di daerah Bau. Dato Miro turut menekankan kepentingan model Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang melibatkan kerjasama erat antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pihak berkuasa tempatan. Jelas beliau, inisiatif ini memastikan manfaat pembangunan dan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh penduduk lokal. "Daerah Bau sangat bertuah kerana dikelilingi keindahan semula jadi. Selain Paku Rock Maze Garden, pengunjung boleh melawat destinasi lain seperti Paku Hot Spring, Gua Pari-Pari, Gua Angin, Tasik Biru, Pusat Kebudayaan Gumbang, dan Pekan Siniawan. "Segala pembangunan ini dijalankan supaya manfaatnya kembali semula kepada komuniti," jelasnya. Beliau menambah, Paku Rock Maze Garden merekodkan sekitar 1,000 hingga 2,000 pengunjung sebulan. Ujarnya lagi, melalui pendekatan 'revisit-driven', program kali ini menyasarkan kehadiran pengunjung lama dan baharu menerusi pengisian aktiviti yang lebih segar dan diterajui oleh komuniti setempat. Justeru, beliau menjemput orang ramai untuk hadir bagi memeriahkan acara tersebut dan mengambil peluang untuk menerokai pelbagai tarikan pelancongan menarik di sekitar daerah Bau.
Press Release, 20 April 2026
BAU, 17 April 2026: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bekerjadama rapat dengan penduduk mereka sendiri dalam usaha memanfaatkan peluang daripada program mahupun projek kerajaan yang dilaksana di kawasan kampung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata, Kerajaan Sarawak berusaha membangunkan kawasan kampung melalui pelaksanaan program dan projek yang mampu membuka peluang kepada penduduk untuk menjana serta meningkatkan pendapatan. "Antara contoh yang diketengahkan ialah projek penanaman kopi di kawasan DUN Serembu, khususnya di Kampung Tringgus, yang kini mencecah kira-kira 115,000 pokok. "Hasil daripada projek tersebut menunjukkan potensi besar dalam menjana pendapatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam, Perasmian dan Penangguhan Kursus Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), di sini, pada Jumaat. Mengulas mengenai kursus yang diadakan, Dato Miro berkata, penganjuran seperti ini bukanlah untuk membebankan atau membuang masa peserta, sebaliknya bertujuan memperkasakan peranan JKKK sebagai pemimpin di kampung, khususnya dalam menghadapi arus pembangunan masa kini. Jelasnya, kebanyakan kampung kini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan, gelanggang sukan dan rumah ibadat yang perlu diurus serta diselenggara dengan baik oleh JKKK demi manfaat bersama. "Perubahan corak pemikiran masyarakat kampung pada masa kini memerlukan pemimpin yang lebih bersedia dan peka terhadap perkembangan semasa," tegas beliau. Pada majlis tersebut, ADUN Serembu itu turut menyerahkan insentif kepada anak-anak di kawasan Serembu yang telah berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha menyuntik semangat mereka berjaya ke puncak menara gading.
Press Release, 09 April 2026
BAU, 08 April 2026: Usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur di daerah Bau terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah, khususnya melalui inisiatif Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk setempat. Lawatan pemantauan projek GKCDA bagi daerah Bau pada Selasa memberi tumpuan kepada beberapa projek utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru dan Serembu, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di peringkat akar umbi. Sebelum ini, pemantauan turut dilaksanakan di DUN Tanjong Datu dan Opar, sekali gus melengkapkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menilai kemajuan projek serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan. Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, lawatan tersebut memberi fokus kepada beberapa projek strategik termasuk naik taraf Dewan Suarah Bau, naik taraf Gereja St. Stephen serta pembinaan dan penaiktarafan jalan dari Kampung Kopit ke Segubang. Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek berkenaan bertujuan meningkatkan kemudahan awam dan keselesaan pengguna, selain menyokong keperluan pembangunan setempat yang semakin berkembang. “Sebagai contoh, projek naik taraf Dewan Suarah Bau melibatkan penyediaan kemudahan moden seperti eskalator dan lif bagi memudahkan pergerakan orang ramai, di samping meningkatkan kecekapan urusan di premis tersebut,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa projek lain akan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat. Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep serta ADUN Serembu, Dato Miro Simuh. Turut hadir, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Timbalan Pegawai Tadbir Khas GKCDA John Aten Pawang, wakil Pejabat Residen Bahagian.
Press Release, 01 April 2026
BAU, 31 Mac 2026: Daerah Bau berpotensi muncul sebagai kawasan penting dalam aktiviti ekonomi, perdagangan dan pelancongan susulan kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan. Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, pembangunan wilayah sempadan yang semakin pesat membuka ruang besar kepada Bau untuk berkembang sebagai antara kawasan tumpuan baharu di bahagian barat Sarawak. "Pembangunan ini selari dengan aspirasi Sarawak Maju 2030 serta pelaksanaan strategi pembangunan pasca COVID-19 yang menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif, peningkatan taraf hidup rakyat dan pembangunan komuniti mampan di seluruh negeri," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penubuhan Persatuan Masyarakat Cina Daerah Bau di Pekan Bau pada Selasa. Dalam pada itu, Dato Henry menyifatkan penubuhan Persatuan Masyarakat Cina Daerah Bau sebagai satu platform penting dalam menyatupadukan masyarakat Cina di daerah itu, selain memperkukuh kerjasama dan perpaduan komuniti setempat demi kemajuan bersama. Beliau menegaskan, peranan organisasi masyarakat seperti Persatuan Masyarakat Cina Daerah Bau amat penting sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam memperkukuhkan perpaduan, menyokong pembangunan komuniti serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai inisiatif pembangunan. Justeru, beliau berharap persatuan tersebut akan terus memainkan peranan aktif dalam mengeratkan hubungan antara masyarakat, memupuk semangat kerjasama serta melibatkan generasi muda agar turut sama menyumbang kepada pembangunan komuniti pada masa hadapan.