BAU, 17 Oktober 2026– Program Ke Arah 10,000 Langkah Sehari anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Apar dan Kampung Tabong telah berlangsung di Balai Raya Kampung Tabong, Singai, Bau dengan penyertaan ahli KRT serta penduduk setempat.
Program tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Henry Harry Anak Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), serta Pegawai Daerah Bau, Encik Eddy Anak Nayoi. Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli KRT Kampung Apar dan Kampung Tabong serta para peserta yang memberikan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
Penganjuran program ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat melalui aktiviti berjalan kaki serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri.
Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Kampung Apar dan Kampung Tabong melalui penglibatan aktif komuniti setempat.
Kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak penganjur, ahli KRT dan para peserta mencerminkan komitmen bersama dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
