BAU, 16 Oktober 2026 – Majlis Perasmian Projek Siap Pemasangan Lampu Jalan Led Dekoratif, Naik Taraf Laluan Pejalan Kaki Di Pekan Bau Dan Pelancaran Buku Sejarah Bau telah berlangsung di Gerai Bukit Emas, Majlis Daerah Bau.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.2 Tasik Biru, Pegawai Daerah Bau, Encik Eddy Anak Nayoi, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) Daerah Bau serta tetamu jemputan.
Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan pelaksanaan projek pemasangan lampu jalan LED dekoratif dan kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki di Pekan Bau. Pelaksanaan projek ini merupakan antara usaha untuk memperindah persekitaran pekan, meningkatkan kemudahan awam serta mewujudkan suasana yang lebih selesa dan teratur kepada penduduk setempat dan para pengunjung.
Pemasangan lampu jalan LED dekoratif turut memberikan nilai tambah kepada landskap Pekan Bau, khususnya dari segi pencahayaan dan keindahan kawasan bandar. Pada masa yang sama, kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada orang ramai dalam menjalankan aktiviti harian.
Selain perasmian projek siap, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Buku Sejarah Bau sebagai satu inisiatif untuk mendokumentasikan dan memelihara sejarah, warisan serta perkembangan Daerah Bau. Penerbitan buku ini diharapkan dapat menjadi sumber rujukan kepada generasi masa kini dan akan datang dalam mengenali asal usul, identiti serta keunikan daerah berkenaan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan usaha berterusan dalam memajukan kemudahan infrastruktur dan memelihara khazanah sejarah tempatan, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Bau sebagai sebuah daerah yang terus berkembang tanpa melupakan nilai sejarah dan warisannya.