KUCHING, 2 Feb: Kontinjen Zon Selatan yang terdiri daripada Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, tampil dengan semangat tinggi dalam misi untuk mempertahankan gelaran juara kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) yang dimenangi pada edisi lepas.
Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi yang juga Chef de Mission (CDM) Zon Selatan berkata, dengan komposisi seramai 280 anggota, beliau menyatakan keyakinan bahawa pasukannya mampu mengulangi kejayaan pada SUKSAR IV 2026 yang bakal berlangsung pada 5 hingga 8 Februari ini, di tiga lokasi berbeza iaitu Sri Aman, Betong dan Lubok Antu.
“Sasaran utama kami adalah untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan SUKSAR. Cabaran untuk mengekalkan kejuaraan ini bukan satu tugas yang mudah namun saya percaya atlet Zon Selatan telah bersedia menyahut cabaran ini,” katanya pada sidang media SUKSAR IV 2026, di Pejabat Residen Bahagian Kuching, di sini, hari ini.
Dayang Joanita berkata, kontinjen Zon Selatan terdiri daripada 205 atlet (116 lelaki, 89 perempuan), 46 pegawai pasukan termasuk pengurus dan jurulatih serta 29 urus setia yang akan memastikan kelancaran logistik sepanjang temasya SUKSAR edisi tahun ini.
Menurut beliau, Zon Selatan akan menyertai kesemua 11 acara sukan dan mensasarkan dominasi dalam beberapa sukan utama seperti tinju, berbasikal, petanque, sepak takraw dan sofbol.
“Atlet Zon Selatan dipilih melalui saringan yang ketat serta telah menjalani latihan yang intensif. Berdasarkan prestasi latihan, kami mensasarkan untuk mendominasi sekurang-kurangnya lima daripada 11 sukan yang dipertandingkan,” ujarnya.
Pada masa sama, Dayang Joanita turut mengingatkan bahawa kejayaan atlet Zon Selatan di SUKSAR IV bukan hanya untuk merebut kemenangan, tetapi juga sebagai langkah persediaan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Selangor pada Ogos nanti.
Zon Selatan muncul juara keseluruhan pada SUKSAR III 2024 di Sibu dengan meraih 63 pingat emas daripada 105 keseluruhan emas yang dipertandingkan, bersama 43 pingat perak dan 37 pingat gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 143 pingat.