BAU, 15 Ogos 2026 – Seminar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Peringkat Daerah Bau 2026 telah diadakan di Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau pada Sabtu sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta hak dan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Seminar yang berlangsung selama setengah hari itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta, termasuk pelajar Tingkatan Enam dan golongan pendidik. Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan yang tepat dan berasaskan fakta, dokumen rasmi serta konteks sejarah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
Seminar telah diilhamkan serta ditaja oleh YB Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak. Di dalam ucapan beliau menekankan kepentingan generasi muda untuk memahami MA63 secara tepat serta berhemah dalam menilai maklumat yang diperoleh, khususnya melalui media sosial, podcast dan pelbagai platform digital. Beliau turut mengingatkan bahawa maklumat yang disebarkan melalui platform digital tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai. Sehubungan itu, masyarakat disarankan agar membuat semakan serta merujuk kepada sumber yang sahih, termasuk dokumen sejarah, rekod rasmi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat.
Selain itu, seminar turut menekankan peranan penting golongan pendidik dalam membimbing pelajar memahami sejarah pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan MA63 berdasarkan sumber yang sahih. Pendedahan tersebut juga dapat membantu pelajar Tingkatan Enam memperkukuh pengetahuan dalam mata pelajaran Sejarah dan Pengajian Am, khususnya berkaitan pembentukan Malaysia serta kedudukan Sarawak dalam Persekutuan. Turut hadir ialah Timbalan Peguam Besar Sarawak, Datuk John Wayne Chamberlain, dan Peguam Kanan Negeri, Mohd Adzrul Adzlan, yang turut memberikan penerangan serta perkongsian berkaitan aspek perundangan dan isu-isu yang mempunyai kaitan dengan MA63. Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, turut hadir sebagai moderator kepada seminar tersebut.
Penganjuran Seminar MA63 Peringkat Daerah Bau ini bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai sejarah pembentukan Malaysia, malah turut menyumbang kepada pembentukan pemikiran kritis, kesedaran sivik, semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Seminar ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat mengenai kepentingan MA63 berdasarkan fakta dan sumber yang sahih. Kefahaman yang tepat mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan kedudukan Sarawak amat penting bagi memastikan perkara berkaitan MA63 terus dihargai, difahami dan diwarisi oleh generasi masa kini serta generasi akan datang.