BAU, 17 Jun 2026 – Majlis Birumu Gawea Ponyap Akat Kampung Plaman Bu'ow Jagoi Gunung Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Kampung Plaman Bu'ow, Bau, pada 17 Jun 2026.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.2 Tasik Biru. Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau, Eddy Anak Nayoi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), pemimpin tempatan serta penduduk Kampung Plaman Bu'ow dan kawasan sekitarnya.
Program yang mengetengahkan semangat perpaduan, gotong-royong dan pemeliharaan warisan budaya masyarakat Bidayuh ini bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti di samping memelihara adat dan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Kaum Kampung Plaman Bu'ow, Dael Anak Nagek, merakamkan penghargaan atas kesudian Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep menghadiri majlis tersebut serta menyatakan harapan agar pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian.
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan dan penaiktarafan kemudahan asas, pengukuhan jaringan perhubungan serta usaha memelihara keunikan budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Bidayuh yang mempamerkan keindahan seni dan warisan tempatan. Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Tetamu Kehormat sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama para tetamu dan penduduk kampung.
Penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan dalam memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat, selain memastikan warisan budaya masyarakat Bidayuh terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.