Projek Naik Taraf Infrastruktur Sawah Padi Serikin RM3 Juta Ditender Jun Ini

Disiarkan pada 27 Apr 2026
Sumber Berita: Berita PDB
BAU, 24 April 2026: Projek menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan sawah padi di Kampung Serikin bernilai RM3 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dijadualkan untuk ditender pada Jun 2026.

Perkara itu dimaklumkan dalam sesi dialog bersama penduduk kampung yang melibatkan GKCDA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Bahagian Kuching, Pejabat Daerah Bau serta Jabatan Pertanian Daerah Bau, pada Jumaat.

Projek tersebut melibatkan kawasan penanaman padi seluas 11.7 hektar dengan skop kerja merangkumi pembinaan benteng keliling dan sistem saliran, benteng dalaman, jalan akses berbatu kerikil serta pembinaan kolam atau pintu kawalan air.

Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Bahagian Kuching bertindak sebagai agensi pelaksana bagi projek berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Datu Ik Pahon Joyik, dalam pada itu berharap penduduk setempat dapat memberikan kerjasama penuh kepada pihak kontraktor bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, menggesa penduduk agar memanfaatkan inisiatif dokumentasi tanah di bawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi membolehkan tanah yang diusahakan memperoleh geran sah di bawah Seksyen 18, sekali gus memberi jaminan pemilikan yang lebih teratur kepada penduduk.

Program tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; Jurutera Awam JPS Sarawak Bahagian Kuching, Hallizza Asli; serta pemimpin masyarakat tempatan termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum Kampung Serikin.