JKKK Perlu Bekerjasama Rapat Dengan Penduduk, Manfaat Peluang Program Kerajaan Di Kampung

Disiarkan pada 20 Apr 2026
Sumber Berita: Berita PDB

BAU, 17 April 2026: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bekerjadama rapat dengan penduduk mereka sendiri dalam usaha memanfaatkan peluang daripada program mahupun projek kerajaan yang dilaksana di kawasan kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata, Kerajaan Sarawak berusaha membangunkan kawasan kampung melalui pelaksanaan program dan projek yang mampu membuka peluang kepada penduduk untuk menjana serta meningkatkan pendapatan.

"Antara contoh yang diketengahkan ialah projek penanaman kopi di kawasan DUN Serembu, khususnya di Kampung Tringgus, yang kini mencecah kira-kira 115,000 pokok.

"Hasil daripada projek tersebut menunjukkan potensi besar dalam menjana pendapatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam, Perasmian dan Penangguhan Kursus Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai kursus yang diadakan, Dato Miro berkata, penganjuran seperti ini bukanlah untuk membebankan atau membuang masa peserta, sebaliknya bertujuan memperkasakan peranan JKKK sebagai pemimpin di kampung, khususnya dalam menghadapi arus pembangunan masa kini.

Jelasnya, kebanyakan kampung kini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan, gelanggang sukan dan rumah ibadat yang perlu diurus serta diselenggara dengan baik oleh JKKK demi manfaat bersama.

"Perubahan corak pemikiran masyarakat kampung pada masa kini memerlukan pemimpin yang lebih bersedia dan peka terhadap perkembangan semasa," tegas beliau.

Pada majlis tersebut, ADUN Serembu itu turut menyerahkan insentif kepada anak-anak di kawasan Serembu yang telah berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha menyuntik semangat mereka berjaya ke puncak menara gading.