BAU, 31 Mac 2026: Daerah Bau berpotensi muncul sebagai kawasan penting dalam aktiviti ekonomi, perdagangan dan pelancongan susulan kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, pembangunan wilayah sempadan yang semakin pesat membuka ruang besar kepada Bau untuk berkembang sebagai antara kawasan tumpuan baharu di bahagian barat Sarawak.
"Pembangunan ini selari dengan aspirasi Sarawak Maju 2030 serta pelaksanaan strategi pembangunan pasca COVID-19 yang menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif, peningkatan taraf hidup rakyat dan pembangunan komuniti mampan di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penubuhan Persatuan Masyarakat Cina Daerah Bau di Pekan Bau pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Henry menyifatkan penubuhan Persatuan Masyarakat Cina Daerah Bau sebagai satu platform penting dalam menyatupadukan masyarakat Cina di daerah itu, selain memperkukuh kerjasama dan perpaduan komuniti setempat demi kemajuan bersama.
Beliau menegaskan, peranan organisasi masyarakat seperti Persatuan Masyarakat Cina Daerah Bau amat penting sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam memperkukuhkan perpaduan, menyokong pembangunan komuniti serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai inisiatif pembangunan.
Justeru, beliau berharap persatuan tersebut akan terus memainkan peranan aktif dalam mengeratkan hubungan antara masyarakat, memupuk semangat kerjasama serta melibatkan generasi muda agar turut sama menyumbang kepada pembangunan komuniti pada masa hadapan.
