Siniawan 'Bermandi' Cahaya, Chap Goh Mei 2026 Satukan Komuniti Bau

Disiarkan pada 04 Mar 2026
Sumber Berita: Berita PDB
BAU, 03 Mac 2026: Pekan Siniawan kembali 'bermandi' cahaya dan warna-warni pada malam Selasa apabila ribuan pengunjung membanjiri kawasan bersejarah itu bagi menyaksikan Perarakan Chap Goh Mei 2026, sekali gus menutup tirai sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dalam suasana penuh harmoni.

Acara tahunan yang dinanti-nantikan itu dimeriahkan dengan persembahan tarian naga dan singa yang berarak di sepanjang deretan kedai kayu warisan, mencipta panorama klasik yang memukau serta menghidupkan kembali nostalgia pekan lama tersebut.

Turut hadir menyaksikan perarakan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh yang diiringi Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi.

Beliau turut meluangkan masa menyantuni penduduk setempat dan pengunjung, mencerminkan keakraban antara pemimpin dan komuniti dalam suasana santai namun bermakna.

Kehadiran orang ramai yang memenuhi laluan utama pekan jelas menggambarkan sokongan berterusan masyarakat terhadap pemeliharaan tradisi dan warisan budaya, khususnya dalam meraikan perayaan pelbagai kaum di negeri ini.

Perarakan berlangsung dengan tertib dan lancar sekali gus mengukuhkan lagi identiti unik Siniawan sebagai pekan warisan yang menjadi pusat pertemuan masyarakat di Daerah Bau.