Projek Naik Taraf Jalan Kampung Bobak Sajong

Disiarkan pada 16 Feb 2026
Sumber Berita: Berita PDB

BAU, 13 Februari 2026: Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep melakukan lawatan ke tapak projek menaik taraf jalan pertanian dan jalan Kampung Bobak Sajong.

Tujuan lawatan pada Khamis itu adalah bagi meninjau status perkembangan pelaksanaan projek pelebaran jalan dan pembinaan jalan berturap telah bermula pada Oktober 2025 dengan tempoh pelaksanaan selama lapan bulan.

Projek dengan nilai kontrak berjumlah RM1,360,320.88 di bawah peruntukan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu merangkumi skop kerja-kerja pelebaran jalan sedia ada sepanjang 3 kilometer serta pembinaan jalan berturap baharu sepanjang 0.25 kilometer bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Selain itu, projek turut merangkumi pembinaan beberapa struktur saliran iaitu satu pembentung paip sepanjang 900 meter, satu pembentung paip sepanjang 300 meter, satu pembentung kotak berkembar berukuran 3 meter serta satu pembentung kotak berkembar berukuran 3.5 meter.

Pembinaan projek ini dijangka dapat memperbaiki sistem perhubungan serta kemudahan infrastruktur di kawasan kampung, sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat dan pengguna yang melalui jalan di kawasan berkenaan.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Bau Danny Ngumbang Martin Enkujang, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau Allyson Hilbert, Penghulu Kawasan Singai Morris John Siren, Ketua Kaum Kampung Bobak Sajong Anna Madran Wenda serta Ketua Kaum Kampung Kampung Bobak Sejinjang Louis Panel.