BAU, 16 Februari 2026: Usaha menangani isu sistem saliran tersumbat dan risiko banjir kilat di Kampung Melayu Seberang Buso terus diberi perhatian apabila projek menaik taraf perparitan bernilai RM169,000 kini dalam pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Henry Harry Jinep telah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan pada Khamis bagi meninjau perkembangan kerja yang sedang dijalankan.
Projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu bermula pada Januari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.
Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Kuching, Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana bagi memastikan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Pelaksanaan projek tersebut bertujuan menaik taraf infrastruktur perparitan sedia ada yang tersumbat, sekali gus memastikan aliran air lebih lancar serta mengurangkan risiko banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk setempat.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Penolong Jurutera DID Bahagian Kuching, Frampton Panchong serta Ketua Kaum Kampung Melayu Seberang Buso, Bujang Sabi @ Ramli Sabi.
Projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur asas luar bandar demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat.
