BAU, 13 Februari 2026: Dewan Suarah Bau bakal dilengkapi kemudahan sistem lif dan eskalator bagi memudahkan pergerakan pengunjung apabila projek menaik taraf fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana itu telah bermula pada Disember 2025 dengan kos berjumlah RM2,705,678 melalui peruntukan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Pemasangan kedua-dua fasiliti berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Beliau yang komited memastikan kelancaran pelaksanaan projek telah mengadakan lawatan ke tapak pembinaan di Bau pada Khamis bagi meninjau perkembangan semasa kerja-kerja menaik taraf.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menggesa supaya dewan berkenaan terus dibuka untuk kegunaan orang ramai bagi penganjuran sebarang acara atau majlis walaupun kerja pemasangan sedang giat dijalankan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi serta Ketua Unit GKCDA, JKR Kuching, Sandra Jujane Jutim.