Projek Bina Baru PPD Bau Bermula, Dijangka Siap Februari 2028

Posted on 05 Feb 2026
Source of News: Berita PDB
BAU, 04 Januari 2026: Projek pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau baharu bernilai RM22.65 juta rasmi bermula setelah penyerahan tapak projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kepada pihak kontraktor.
 
Majlis simbolik penyerahan tapak pada Rabu disempurnakan Jurutera Awam JKR Bahagian Kuching Siti Fariza Aidel kepada wakil kontraktor serta disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.
 
Projek yang dijangka siap pada Februari 2028 tersebut dibangunkan di Lot 1149, Blok 9, Senggi-Poak Land District dengan keluasan 6.76 ekar atau 27,350 meter persegi dengan akses utama melalui Jalan Kuching–Bau dan jalan sekunder Jalan Seringgok.
 
Skop pembinaan merangkumi pembangunan kawasan tanah rendah dan tinggi termasuk kerja-kerja awal, kerja cerucuk, pembinaan bangunan utama serta kemudahan sokongan.
 
Antara komponen bangunan termasuk dewan serbaguna, bangunan pentadbiran, bilik seminar, kafeteria, kuarters apartmen, ruang tong sampah, bilik pam serta pondok pengawal.
 
Projek turut melibatkan pelaksanaan perkhidmatan mekanikal dan elektrikal yang lengkap merangkumi kerja elekterik voltan tinggi dan rendah termasuk pembinaan pencawang, pemasangan lampu jalan, sistem perlindungan kilat serta pekhidmatan ELV seperti rangkaian ICT, CCTV, sistem audio visual bagi bilik seminar, penyaman udara, sistem pencegah kebakaran serta sistem paip air dan sanitari dalaman.
 
Selain itu, kerja infrastruktur turut dilaksanakan yang meliputi penyediaan tapak, kerja tanah, penurapan jalan dan tempat letak kereta, sistem saliran, kolam takungan, retikulasi air, sistem pembentungan, laluan bangunan, kerja penanaman rumput dan landskap, pemasangan tangki penuaian air hujan serta pembinaan pagar dan pintu masuk keselamatan.
 
Manakala, kerja-kerja lain yang turut dilaksanakan termasuk pemasangan papan tanda, pembinaan tiang bendera, bangku konkrit bertetulang, kabinet tetap, tempat letak kereta berbumbung dan laluan pejalan kaki berbumbung.
 
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi serta Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping.