Bau Semarak Tahun Baharu Cina 2026, Martabatkan Budaya Komuniti

Posted on 02 Feb 2026
Source of News: Berita PDB
BAU, 01 Januari 2026: Pelancaran hiasan dan lampu sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Bau menjadi platform utama untuk menonjolkan identiti, sejarah dan sumbangan komuniti Cina di bandar ini selain menyemarakkan suasana perayaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai & Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata pelancaran hiasan dan lampu itu turut memberi peluang kepada pengunjung menghargai warisan tempatan melalui mercu tanda bergambar dan pameran lampu yang menonjolkan elemen budaya serta sejarah kedatangan awal pelombong Cina di Bau.

Jelasnya, gabungan suasana perayaan dan pengiktirafan sejarah ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh identiti budaya di Bau, sambil memartabatkan nilai tradisi masyarakat tempatan dan menyokong pembangunan sosial serta ekonomi.

“Proses menghias bandar ini akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa. Aktiviti ini juga bertujuan memupuk penglibatan komuniti setempat dalam memelihara tradisi sambil menyemarakkan perayaan.

“Pelancaran ini bukan sahaja menyerikan bandar, malah turut memartabatkan budaya serta sejarah komuniti Cina di Bau,” katanya dalam Majlis Bau Town Chinese New Year Decoration Light Up 2026 di Pasar Bau pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bau yang kontraknya telah ditender pada pertengahan Disember 2025 dan dijangka siap sekitar 2028.

Ujarnya, projek ini bukan sahaja melibatkan pembinaan infrastruktur utama, malah turut merangkumi penyelarasan bekalan air, pembaikan paip lama serta cadangan pembinaan jalan pintas (bypass) bagi mengelakkan kesesakan di kawasan kampung apabila ICQS mula beroperasi.

“Projek ICQS ini akan menjadi pemangkin pembangunan bandar menjadikan Bau sebagai transit strategik serantau serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

“Dengan adanya ICQS, kita juga dapat menarik pelabur, memperkukuh sektor perdagangan dan perniagaan selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang memberi manfaat langsung kepada penduduk tempatan,” tambah beliau.

Hadir sama Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi serta tetamu lain.