Sesi Libat Urus Geopark Daerah Bau Tahun 2025

Posted on 31 Dec 2025
Source of News: Berita PDB
Daerah Bau mempunyai keunikan warisan geologi, biodiversiti serta budaya yang tinggi dan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai sebuah geopark yang mampan. Kawasan ini bukan sahaja kaya dengan formasi batuan bersejarah dan landskap semula jadi yang bernilai tinggi, malah turut didiami oleh komuniti setempat yang memiliki khazanah budaya serta pengetahuan tradisional yang penting dalam usaha pemeliharaan dan pengurusan kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Sesi Libat Urus Geopark Daerah Bau Tahun 2025 telah dianjurkan pada 30 Disember 2025 (Selasa) pada pukul 9.00 pagi dan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Kompleks Pejabat Daerah Bau. Sesi ini dianjurkan sebagai satu platform perbincangan dan perkongsian pandangan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta pihak industri yang berkaitan.

Sesi libat urus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman bersama mengenai konsep geopark, kepentingannya serta peranan dan tanggungjawab setiap pihak dalam menyokong usaha pembangunan dan pemeliharaan Geopark Daerah Bau. Bagi memperkukuh pengisian sesi, kami telah menjemput Puan Niny Anak Rayer, Penolong Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, sebagai penceramah dimana beliau menyampaikan perkongsian berkaitan pemeliharaan sumber semula jadi dan pengurusan lestari.

Melalui sesi libat urus ini, pandangan, cadangan dan aspirasi daripada pelbagai pihak akan dikumpulkan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan geopark dapat dilaksanakan secara inklusif, bersepadu dan mampan. Pendekatan ini selaras dengan matlamat untuk memelihara warisan geologi dan alam sekitar, di samping menjana peluang sosioekonomi kepada komuniti setempat melalui pembangunan pelancongan berasaskan pengetahuan dan kelestarian.