Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Selamat Datang Ke Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Kuching
Sejarah Ringkas Daerah Lundu



Daerah Lundu merangkumi kawasan seluas 1,916 kilometer persegi (km2), termasuk Daerah Kecil Sematan. Ia terletak di bahagian barat Sarawak di mana salah satu tarikannya, Taman Negara Tanjong Datu berada di kawasan paling hujung barat Negeri ini. Jumlah penduduk di Daerah Lundu setakat tahun 2018 adalah dalam anggaran 36000 orang.

Ramai menganggap Daerah Lundu sebagai daerah yang paling cantik di dalam Negeri sarawak, dengan gunung-ganang yang hijau, air terjun, pantai-pantai yang indah, air laut yang jernih dan biru, serta pulau kecil di sepanjang persisiran pantainya.

Menurut apa yang telah ditulis oleh Spencer St. John (1879) dan S. Baring-gould & C.A Bampfylde (1909), keindahan Daerah Lundu diakui oleh Rajah Putih Sarawak. Di dalam karya Spencer St. John yang berjudul "Life of Sir James Brooke', nama Lundu sering disebut, dan begitu juga Orang Kaya Temenggong Jugah dari Lundu.

James Brooke juga dikatakan telah singgah di Lundu ketika dalam perjalanan beliau dari Singapura pada tahun 1839, di mana beliau bertemu dengan Orang Kaya Temenggong Jugah (Mundy, 1848)

Kaum Selako, Dayak Sibuyau (Stunggang & Sg. Lundu) dan Cina dari Tg. Purun juga disebut di dalam buku tersebut, serta kaitan di antara orang Melayu di Lundu dengan orang Melayu Sambas dan Pulau Natuna.

Semasa negeri ini diserahkan oleh Sultan Brunei dari Tanjong Datu hingga Batang Sadong pada tahun 1841, Lundu sudahpun menjadi sebahagian daripada sarawak di zaman awal. Oleh yang demikian, Lundu dan Sematan tidak dianggap 'baharu'.

Lundu memainkan peranan penting di dalam sejarah Sarawak. Charles dan Vyner Brooke serta para ekspatriat yang lain telah dihantar ke Lundu, yang ketika itu merupakan kawasan latihan di mana mereka belajar untuk membiasakan diri dengan adat dan tradisi masyarakat setempat (Harriette McDougal, 1882). Charles Brooke juga telah menghabiskan masa di Lundu buat seketika sebelum beliau diisytiharkan sebagai Rajah kedua.

Bagaimanapun, sejarah asal usul nama Lundu tidaklah begitu jelas. Ramai yang percaya bahawa daerah tersebut mendapat nama dari Sungai Lundu yang di mana terdapatnya ikan lundu (mystus Nigriceps).

Batang Kayan merupakan sungai terbesar di Lundu, akan tetapi tiada bukti bahawa kaum Kayan telah menetap di Daerah tersebut. Sungai Lundu mengalir dari kawasan pergunungan Gading ke Batang Kayan.